CALON muda akan diberikan keutamaan pada pilihanraya ke-16, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional berkata meminggirkan calon muda bukan lagi satu pendekatan baharu kerana mereka berjaya membuktikannya pada pilihanraya kecil DUN Nenggiri dan Mahkota.
“Kita tidak ada banyak pillihan kecuali memberi lebih banyak ruang kepada mereka.
“Nenggiri dan Mahkota sudah membuktikan keupayaan mereka,” katanya berucap merasmikan konvensyen Barisan Nasional peringkat negeri Perak di Ipoh, hari ini (24 Disember).
Beliau juga berkata, pendedahan hingga ke peringkat akar umbi mampu membantu kemenangan parti.
“Di Nenggiri, yang kita tak pernah menang dan dalam sebuah negeri yang bukan di bawah Kerajaan Perpaduan, kita menang kerana berani membawa perubahan yang disenangi rakyat,” katanya.
Oleh itu, kata presiden UMNO itu, calon Pemuda, Puteri dan Wanita akan diberikan lebih peluang pada PRU16.
Bagaimanapun, ia tidak bererti calon senior akan diketepikan.
Di Nenggiri, ketua Pemuda Kelantan Mohd Asmawi Fikri Abdul Ghani, 38, menewaskan calon Perikatan Nasional Mohd Rizwandi Ismail dengan majoriti 3,352 undi manakala di PRK Mahkota, ketua Pemuda Kluang Syed Hussein Syed Abdullah, 40, menewaskan calon PN Mohammad Haizan Jaafar dengan majoriti 20,648 undi.