VETERAN UMNO meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan saranan menukar Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dengan pemimpin lebih berwibawa demi menjaga nama baik negara.
Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata amat memalukan negara apabila seorang menteri yang sepatutnya menjual produk Malaysia untuk menarik pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia, sebaliknya bercakap seolah-olah Malaysia tidak aman dan selamat.
Beliau berkata, malah tiada sebab untuk King Sing meminta maaf kepada pelancong China kerana dakwaan layanan tidak istimewa oleh kerajaan Malaysia kepada mereka.
“Dakwaan King Sing kononnya dia ditanya pelancong China apakah Malaysia sebuah negara perkauman adalah satu pembohongan dan wayang.
“Mana ada satu negara di dunia ini yang memberi layanan istimewa kepada pelancong yang melancong ke negara mereka sehingga terpaksa menukar papan iklan kepada bahasa pelancong?
“Orang Malaysia yang melawat China bukan sedikit. Tapi papan iklan di pusat beli belah di Beijing, Shanghai dan lain-lain tetap dalam bahasa Mandarin. Kalau ada terjemahan pun dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Mustapha merujuk kenyataan King Sing bahawa beliau menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, susulan serbuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas beberapa premis di ibu negara sebelum ini.
Serbuan itu adalah operasi berskala besar terhadap premis-premis yang tidak memasang papan tanda bahasa kebangsaan.