MESYUARAT khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO perlu diadakan bagi membincangkan tindakan susulan ekoran afidavit dikemukakan Datuk Nizar Najib.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zarkashi berkata, beliau sendiri akan mencadangkan perkara itu.
“Afidavit terbaru Nizar itu membuktikan affidavit Datuk Seri Ahmad Zahid (Hamidi) dan Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) mengenai titah adendum bukan hearsay,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum itu, Nizar yang juga anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan afidavit di mahkamah mengenai titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan ayahnya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Anak sulung Najib, Datuk Muhammad Nizar mengesahkan perkara tersebut telah dimaklumkan sendiri oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepadanya baru -baru ini.