PEMIMPIN veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, UMNO perlu melaksanakan pelbagai langkah drastik untuk menarik kembali sokongan rakyat.
Ku Li berkata, antara langkah perlu diambil BN khususnya UMNO adalah dengan mengurangkan hukuman penggantungan dan menerima semula mereka yang telah dipecat dari parti itu sebelum ini seperti bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama Sinar Harian di pejabatnya, baru-baru ini.
“Maafkan mereka. UMNO perlu diperkukuhkan menjelang pilihanraya umum ke-16.
“Kita ada pilihan ke arah itu. Fikirkanlah yang terbaik untuk parti,” katanya.
Beliau merujuk kepada kenyataan presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa UMNO sedia mempertimbangkan mana-mana ahli yang dipecat atau digantung jika mereka membuat permohonan rasmi.
Zahid berkata, setakat ini parti belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak, kecuali Datuk Seri Tajuddin Rahman yang ditamatkan penggantungannya awal bulan ini.