AHLI Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengulangi pendirian untuk tidak membuat sebarang rayuan terhadap penggantungan keahlian dalam UMNO.
Bekas Menteri Pertahanan itu berkata sehingga kini tidak pasti mengapa keahlian beliau digantung.
“Buat apa saya nak merayu (dengan Presiden UMNO) sampai sekarang pun saya tidak tahu mengapa digantung,” katanya kepada MalaysiaGazette di Dewan Rakyat, semalam.
Hishammuddin berkata demikian mengulas pertanyaan wartawan samada akan membuat rayuan berhubung pergantungan keahliannya.
Sebelum ini, penggantungan keahlian Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ditarik balik serta merta dalam satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan tersebut dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan UMNO.
Tajuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti antara lain berkait tempoh masa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, Hishammuddin mengesahkan tidak akan membuat rayuan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menggantung keahliannya selama enam tahun.
Pada 23 Februari lalu, beliau menjelaskan perkara tersebut selepas mendakwa ramai yang tertanya-tanya dan ternanti-nantikan pendiriannya sama ada membuat rayuan atau sebaliknya selepas digantung keahlian UMNO.