Tiada tempat untuk pemimpin khianat – Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi mengingatkan bahawa pemimpin dan ahli yang tidak setia dan hanya mementingkan diri sendiri tidak ada tempat dalam parti.

Timbalan Perdana Menteri itu yang juga presiden UMNO berkata golongan berkenaan tidak sepatutnya mencari jalan keluar dengan menyertai parti lain hanya kerana kepentingan peribadi mereka tidak dipenuhi.

“Jangan sesekali berpendirian sedemikian.

“Jika kita setia kepada parti, kita akan mengetahuinya. Sebaliknya, kita juga akan tahu,” katanya di Konvensyen BN Pulau Pinang, semalam.

Tanpa menamakan sesiapa, Zahid berkata dia tahu siapa yang setia dan tidak kepada parti.

“Mereka ini ibarat gunting dalam lipatan, menikam kawan dari belakang dan menyembunyikan tangan kotor mereka.

“Kita boleh maafkan mereka tetapi tidak sekali-kali dapat melupakan apa yang mereka dah buat,” katanya.