GRS parti yang paling lemah mentadbir Sabah – Bung

GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) adalah parti yang paling lemah mentadbir negeri sepanjang sejarah, kata Bung Moktar Radin.

Bercakap di Gerak UMNO Sabah bahagian Bengkoka semalam, Bung mengecam GRS kerana gagal mengkotakan janjinya untuk mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan kepada rakyat negeri itu.

Oleh itu, katanya, Sabah kekal sebagai antara negeri termiskin di Malaysia.

“Mana peluang pekerjaan yang dijanjikan sebelum ini? Jika ada banyak peluang pekerjaan, takkanlah masih banyak kemiskinan di Sabah,” katanya.

Bung juga menyebut mengenai prasarana asas yang tidak cukup, akses kepada air bersih dan elektrik di banyak tempat sebagai masih tidak terurus.

“Jalan raya di Sabah juga seperti permukaan bulan. Ketika kerajaan menumpukan perhatian kepada projek Pan-Borneo, jalan raya sedia ada dibiarkan rosak tanpa seliaan, menyebabkan kenderaan rakyat banyak yang rosak jika mereka hendak ke barat dari timur Sabah,” katanya.

Bung juga mengkritik kerajaan negeri kerana terlalu bergantung kepada sumbangan politik, menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak patut dan lemah.