Perhimpunan diteruskan, kata Zahid Hamidi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengerusi DAP, Lim Guan Eng agar jangan mensabitkan kerajaan perpaduan dengan perhimpunan solidariti untuk Datuk Seri Najib Razak pada 6 Januari ini.

Beliau juga menolak andaian yang dibuat oleh Guan Eng bahawa perhimpunan itu mengandungi unsur ketidaksetiaan UMNO terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Itu pendapat peribadinya. Masa beliau sudah berlalu. Kita yakin dengan pucuk kepimpinan DAP sekarang (mengenai perhimpunan itu).

“Tak perlulah dia mewujudkan pergeseran di kalangan parti-parti kerajaan,” katanya di Putrajaya, hari ini.

Zahid berkata, UMNO akan meneruskan perhimpunan itu.

PAS juga akan mengadakan perhimpunan yang sama di perkarangan kompleks Istana Kehakiman di Putrajaya.

Ia adalah kali pertama UMNO dan PAS ‘duduk semeja’ sejaka runtuhnya Muafakat Nasional pada penghujung 2022.