UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia selaras kuasa prerogatif baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“UMNO memohon ihsan, kebijaksanaan dan keadilan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh buat Datuk Seri Najib selaras kuasa prerogatif baginda di bawah peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli UMNO serta penyokong setia yang tidak pernah lelah memberikan sokongan dan doa sepanjang perjalanan ini,” katanya dalam kenyataan semalam.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, UMNO juga menjunjung kasih terhadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperakukan Titah Adendum mengenai penahanan dalam rumah Najib adalah wujud dan sahih.
“Perakuan kesahihan Titah Addendum ini yang dizahirkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang membuktikan kebenaran afidavit tambahan menyokong petisyen Najib yang telah dibuat oleh saya dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebelum ini.
“UMNO menghormati proses perundangan yang sedang berlangsung dan akan terus memperjuangkan keadilan buat Najib,” katanya.
Pagi tadi, Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah yang membolehkan bekas perdana menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Melalui penghakiman majoriti 2-1 yang dibacakan Hakim Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, menyatakan bahawa mahkamah tidak boleh mengabaikan fakta dan bukti yang dikemukakan oleh perayu (Najib) dalam kes berkenaan.