SAMAN SRC International Sdn Bhd’s terhadap UMNO disebut semalam (Isnin) selepas kedua-dua pihak gagal menyelesaikannya di luar mahkamah.
Perbicaraan saman SRC terhadap UMNO dan UMNO Selangor melibatkan RM19.5 juta yang didakwa diterima secara salah.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan sudah memberikan masa kepada pihak terlibat termasuk SRC dan dua anak syarikatnya iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) untuk berunding.
Peguam mewakili SRC, Razlan Hadri Zulkifli berkata, pihaknya akan mengemukan bukti terutamanya peranan bekas Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang memegang beberapa peranan dengan konflik kepentingan.
Antaranya dakwa peguam itu, Najib yang pernah memiliki saham tunggal SRC ketika menjadi Menteri Kewangan turut memegang jawatan Penasihat Emiratus untuk SRC dan anak syarikatnya yang didakwa ditubuhkan untuk tujuan melaksanakan pelbagai aktiviti sosial korporat (CSR).
Pada masa sama, Najib menjawat jawatan Presiden UMNO dan telah menyalurkan dana melalui SRC kepada UMNO dan UMNO Selangor dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM19.5 juta.
Razlan mendakwa, dana itu adalah sebahagian daripada RM43.96 juta yang dipindahkan SRC kepada Gandingan Mentari sebelum disalurkan kepada JPSB tanpa kelulusan lembaga pengarah SRC.