Tak perlu menteri khas untuk agama lain

UMNO meminta wakil rakyat bukan Islam agar menghormati Perlembagaan Persekutuan berhubung perkara tiga mengenai kedudukan Islam dan raja-raja Melayu.

Setiausaha agungnya, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan portfolio menteri khusus untuk mentadbir hal ehwal agama bukan Islam.

“Tiada keperluan menteri hal ehwal agama lain. Menteri perpaduan yang patut jalankan kerja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Untuk rekod, jawatan menteri perpaduan negara disandang oleh Aaron Ago Dagang yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak.

Tambah Asyraf Wajdi, dalam perlembagaan ada dinyatakan bahawa Islam adalah agama persekutuan namun kebebasan beragama untuk semua adalah dijamin.

“Namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus untuk pengurusan agama selain Islam,” katanya.

Semalam, seorang ahli parlimen kerajaan menyarankan supaya portfolio menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.

Semasa membakaskan usul menjunjung kasih titah diraja, Chow Yu Hui berkata dengan adanya dua menteri mentadbir hal ehwal agama, sesuatu isu boleh dibincangkan dengan lebih berkesan serta mengelakkan kontroversi.