Tiada pakatan UMNO-Warisan di Sabah

UMNO Sabah mengesahkan bahawa tiada sebarang perbincangan rasmi antara kedua-dua parti itu untuk membentuk gabungan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Perkara itu disahkan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir susulan kenyataan yang dikeluarkan Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrell Leiking pada Jumaat.

“Saya mengesahkan sehingga hari ini tidak ada sebarang perbincangan rasmi atau kesepakatan UMNO Sabah dan Parti Warisan.

“Ingin ditegaskan juga setakat ini UMNO Sabah belum ada keputusan untuk mengadakan sebarang gabungan dengan mana-mana parti politik di Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

UMNO Sabah kekal fokus dalam memperkukuhkan parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, dalam menghadapi sebarang kemungkinan, UMNO Sabah telah bersiap siaga dengan strategi tersendiri.