UMNO membuka pintu dan tidak pernah menutup pintu untuk bekerjasama dengan mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak akan menutup pintu serapatnya dan sedia bekerjasama dengan pihak yang boleh memberikan keuntungan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional Sabah.
Katanya, perkara yang paling penting adalah parti UMNO perlu dominan terutama sekali di Sabah dan menang dalam PRN akan datang.
“Kepentingan rakyat Sabah harus didahulukan, walaupun UMNO telah diuji pada tahun 2018, namun parti ini masih bertahan sehingga ke hari ini.
“BN dan UMNO jangan risau mahu gabung dengan mana-mana parti, kita harus buka pintu yang penting kita harus dominan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun UMNO Sabah Ke-34 di Dewan Kompleks Sukan Tawau, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, katanya, UMNO menyatakan keyakinan pada kepimpinan Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar menerajui parti ini.
“Saya yakin Bung Moktar akan menerajui parti ini dengan baik dan menang secara dominan pada PRN Sabah akan datang,” katanya.
Sementara itu, pada sidang medianya pula, Ahmad Zahid berkata dia sudah bertemu dengan semua Ketua Bahagian UMNO dan ketua sayap parti seluruh Sabah untuk menyampaikan beberapa amanat.
“Saya sudah sampaikan kesiapsiagaan kita untuk menyusun jentera sekiranya PRN Sabah diadakan pada bila-bila masa.
“Kita telah menyediakan jentera yang secukupnya untuk menarik pengundi dan memberikan dokongan kepada calon-calon yang akan dikemukakan kelak,” katanya.