Langkawi tolak pemilihan cara lama parti

UMNO Bahagian Langkawi menolak sebarang usaha mengembalikan proses pemilihan bagi jawatan tertinggi UMNO kepada sistem lama yang mengehadkan hanya 2,500 perwakilan dibenarkan mengundi.

Ketuanya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib, berkata sistem lama itu bukan sahaja tidak relevan dengan realiti politik semasa, malah bercanggah dengan prinsip demokrasi dan keterbukaan diperjuangkan UMNO.

“Saya dengan tegas membantah cadangan (mengembalikan sistem pemilihan lama) itu, yang hanya membabitkan 2,500 perwakilan bagi pemilihan kepimpinan tertinggi parti.

“Sebagai parti memperjuangkan demokrasi dan keterbukaan, langkah mengembalikan sistem lama yang kurang inklusif adalah satu langkah ke belakang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Media pada Julai tahun lalu melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu terbuka dan bersedia meneliti sebarang cadangan bagi mengubah sistem pemilihan parti.

Menerusi laporan itu, Ahmad Zahid dipetik berkata, sistem pemilihan bukan keutamaan parti ketika ini dan hanya akan dilakukan jika terdapat keperluan atau sudah tiba masanya.

Mohd Nazifuddin berkata, perubahan yang dilakukan sebelum ini dan diamalkan sekarang bertujuan memastikan pemilihan kepimpinan tertinggi parti lebih adil, telus dan menyeluruh.

“Oleh itu, hak memilih pemimpin UMNO pusat perlu dikekalkan kepada ahli akar umbi seperti sekarang, bukan hanya terhad kepada perwakilan yang dihantar ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Malah, cadangan memberikan semula hak mengundi kepada hanya 2,500 perwakilan yang menghadiri PAU, menimbulkan kebimbangan besar terhadap isu politik wang,” katanya.

Mohd Nazifuddin berkata, kepimpinan tertinggi UMNO perlu lebih cakna suara akar umbi dan memastikan sebarang perubahan dalam sistem pemilihan perlu berdasarkan prinsip demokrasi demi masa depan parti untuk lebih inklusif dan kukuh.

“UMNO Bahagian Langkawi mengambil ketetapan tidak akan menyokong sebarang perubahan yang boleh mengorbankan prinsip asas demokrasi dalaman dan kepercayaan rakyat terhadap UMNO,” katanya.