LGE: Bukan UMNO tentukan masa depan saya

BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan masa depan beliau dalam DAP hanya akan ditentukan oleh ahli parti itu sendiri, bukannya UMNO.

Berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Veteran Kebangsaan DAP di Holiday Inn di Bukit Mertajam malam tadi, Guan Eng berkata beliau ditanya mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal tahun ini yang mengkritiknya dan mendakwa bahawa masanya telah berlalu, sekali gus memberi petunjuk bahawa beliau tidak lagi menjadi sebahagian daripada kepemimpinan parti.

“Sama ada masa saya telah berlalu atau tidak, ia akan ditentukan oleh ahli DAP dan bukannya Presiden UMNO.

“DAP tidak pernah dipimpin oleh UMNO ketika kami berada dalam pembangkang dan kami juga tidak akan dipimpin oleh UMNO apabila kami berada dalam kerajaan.

“Saya ingin mengingatkan Zahid bahawa DAP berada dalam Pakatan Harapan (PH) dan bukannya dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.

Awal tahun ini, Zahid dilapor menggesa Guan Eng supaya tidak merosakkan parti dalam Kerajaan Perpaduan dengan kenyataannya mengenai satu perhimpunan yang menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Zahid berkata demikian ketika menjawab soalan mengenai kritikan Guan Eng terhadap UMNO kerana bergabung dengan PAS dalam perhimpunan menyokong Najib.

“Saya tidak perlu mengulas kerana itu adalah pendapat peribadinya. Masanya telah berlalu dan dia seharusnya mempercayai kepimpinan DAP yang sekarang daripada ‘mengganggu’ atau merosakkan mana-mana rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” kata Zahid.

Guan Eng kini dilapor berdepan laluan agak sukar menjelang Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP minggu depan, dengan desas-desus mengenai usaha mengenepikannya selaku Pengerusi DAP termasuk persepsi kewujudan dua kem dalam parti.

Terkini ada sumber dalam parti memaklumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menemui Guan Eng untuk memujuk beliau supaya tidak mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi.