Kes Ismail Sabri tak jejaskan imej UMNO

TIDAK timbul isu bahawa UMNO akan tergugat susulan siasatan kes rasuah yang sedang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kes itu adalah bersifat individu dan tidak membabitkan parti.

“Perkara itu bukanlah satu isu dalam kalangan kepimpinan dan ahli UMNO. Kami menganggap kes ini bersifat peribadi. Ia tiada kaitan dengan parti secara rasmi,” katanya pada sidang media Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi UMNO di sini pada Rabu.

Pengerusi Barisan Nasional itu berkata demikian ketika mengulas persoalan sama ada kes rasuah melibatkan Ismail Sabri akan mengganggu kestabilan UMNO dan adakah perkara tersebut menjejaskan imej parti berkenaan.