Zafrul masih ahli UMNO, kata Zahid Hamidi

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz masih ahli parti itu yang sah.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau sudah bertemu Tengku Zafrul pada minggu lalu untuk membincangkan ura-ura kononnya Ketua Umno Bahagian Kota Raja itu bakal meninggalkan Umno.

Menurutnya, pada pertemuan itu, beliau juga menasihati Tengku Zafrul supaya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan berhubung perkara terbabit.

“Saya memperakui bahawa beliau (Tengku Zafrul) sudah bertemu dengan saya minggu lalu.

“Saya juga memberikan pandangan parti bahawa beliau tidak perlu tergesa-gesa untuk membuat keputusan sekarang kerana beliau adalah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, beliau adalah ketua Umno Bahagian Kota Raja, beliau juga adalah ahli Majlis Kerja Tinggi (MKT) yang dipilih dan menang.

“Jadi tidak perlu tergesa-gesa. Dalam keadaan itu beliau bersetuju dengan saya dan insya-Allah setakat hari ini, beliau masih lagi menjadi ahli UMNO,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Pada 9 Februari lalu, Tengku Zafrul dilapor akan mengumumkan keputusan ura-ura beliau akan meninggalkan UMNO dalam tempoh terdekat selepas berjumpa Ahmad Zahid.

Tengku Zafrul dilapor berkata akan menemui Presiden UMNO bagi membincangkan perkara itu sebelum pengumuman mengenainya dibuat secara rasmi.