UMNO Kedah mendesak kerajaan negeri segera menyatakan pendirian rasmi berhubung penganjuran Pesta Songkran di negeri ini, susulan kenyataan tegas Pas Pulau Pinang yang menolak pesta tersebut atas alasan bertentangan nilai dan ajaran Islam.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata tindakan Pas Pulau Pinang menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi pendirian blok kerajaan yang turut merangkumi Pas di Kedah.
“Adakah kerajaan negeri berkongsi pendirian sama seperti Pas Pulau Pinang atau memilih untuk berdiam diri dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan kepelbagaian kaum ini?” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
UMNO Kedah turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil dengan kenyataan rasmi bagi membuktikan kerajaan negeri pimpinan beliau benar-benar berjiwa besar, progresif dan komited melindungi hak serta budaya semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum.
“Malangnya hingga kini, pentadbiran Muhammad Sanusi dilihat gagal menunjukkan ketegasan dalam pelbagai isu dasar termasuk aspek sosio-ekonomi, pembangunan negeri dan perpaduan antara kaum.
“Pendirian beliau sering kali kabur, berubah-ubah dan penuh dengan alasan mengelirukan rakyat,” tambahnya.