Malaysia ratapi kehilangan Abdullah Badawi

MALAYSIA meratapi pemergian Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, hari ini, Isnin 14 April 2025.

Beliau yang juga mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’, disahkan meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, jam 7.10 malam.

Allahyarham dikenang sebagai seorang pemimpin yang merendah diri dan bersederhana dalam tindakan serta percakapannya ketika mengetuai pentadbiran negara.

Sikap itu bagaimanapun tidak menghalang Allahyarham daripada bertegas, terutama dalam usaha membasmi rasuah dan mahu pentadbirannya telus serta berintegriti.

Dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan, Abdullah ialah pelopor dan pengasas kepada satu konsep baharu dalam pembangunan negara berasaskan kekuatan pembangunan modal insan.

Sepanjang tempoh memegang jawatan Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, pembangunan modal insan sentiasa menjadi strategi utama untuk membangunkan serta menambah nilai keupayaan rakyat Malaysia.

Allahyarham memperkenalkan Islam Hadhari yang memfokus kepada peningkatan pembangunan serta kualiti kehidupan masyarakat secara keseluruhan, dengan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang dan pembangunan modal insan.

“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya” – antara ucapan keramat beliau ketika mula-mula diangkat sebagai Perdana Menteri. Abdullah mahu setiap golongan rakyat bekerja bersama beliau untuk membangunkan negara.

Dengan moto ‘Cemerlang, Gemilang dan Terbilang’, komitmen Allahyarham amat tinggi untuk melahirkan pentadbiran yang jujur, efisien, Islamik dan peka kepada nasib penduduk luar bandar serta wilayah yang tidak begitu mendapat perhatian sebelumnya.

Abdullah bertekad memerangi rasuah. Beliau meminta pegawai kerajaan tidak menerima rasuah, dalam usaha menghapuskan gejala itu, malah rasuah diisytiharkan sebagai musuh nombor satu bawah kepemimpinannya.

Elemen pentadbiran awam yang efektif, dasar luar secara berdialog, mementingkan sumber manusia daripada pembangunan fizikal semata-mata, memberi keutamaan kepada sektor pertanian dan integrasi nasional, adalah antara langkah bijak yang menjadi gagasan kekuatan kepemimpinan Abdullah.

Menelusuri latar belakang hidupnya, Abdullah dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Allahyarham adalah anak sulung daripada empat beradik, kepada pasangan Ahmad Abdullah Fahim (lebih dikenali sebagai Ahmad Badawi) dan Datuk Khailan Hassan.

Beliau juga adalah cucu kepada Sheikh Abdullah Fahim, seorang ahli falak yang mencadangkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kepada Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Abdullah menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Permatang Bertam, Kepala Batas, dan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Daeratul Maarifil Al-Wataniah, Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan Sekolah Lelaki Methodist Pulau Pinang.

Beliau kemudian meneruskan pengajian di Universiti Malaya (UM) dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada 1964.

Abdullah menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1964.

Pada 1969, beliau bertukar ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) – sebuah badan berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara – yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.

Seterusnya, Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha di kementerian sama pada 1974.

Abdullah menyertai UMNO pada 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik selepas menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada 1978 dan meletak jawatan dalam perkhidmatan awam untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

Pada 1978, Abdullah dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan dan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Menteri pada 1980.

Beliau kemudian mula memegang jawatan sebagai Menteri, iaitu di Jabatan Perdana Menteri (1981-1984); Kementerian Pendidikan (1984-1986); Kementerian Pertahanan (1986-1987) dan Kementerian Luar (1991-1999).

Allahyarham dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada 1984, 1987, 1990 dan dipilih semula untuk jawatan itu pada 1996.

Pada 1999, Abdullah terus diberi kepercayaan apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, melantik beliau menjadi timbalannya dan Timbalan Presiden UMNO.

Ketika itu, Abdullah juga merupakan Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003 dan menerajui pentadbiran negara selama enam tahun.

Pada Perhimpunan Agung UMNO, Mac 2009, beliau membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti, dan seterusnya menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri.

Abdullah kemudian digantikan Timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang menjadi Perdana Menteri pada 2 April 2009.

Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Kamaluddin serta Nori.

Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia akibat kanser payu dara. Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.

Selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, Abdullah sudah tidak membabitkan diri dalam bidang politik.

Pada 11 September 2022, menantu beliau yang juga Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin, buat kali pertama mendedahkan bahawa Abdullah menghidap demensia.

Abdullah dikatakan mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri dan tidak mengingati namanya, isteri serta ahli keluarga lain.