UMNO tidak akan mengamalkan hipokrasi politik dan merobek keutamaannya seperti dilakukan sebuah parti pembangkang berteraskan Islam, walaupun ia menyertai kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan UMNO membentuk kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bukanlah satu persekongkolan eksklusif sebaliknya ia adalah keputusan kenegaraan.
Beliau turut membidas tindakan parti pembangkang berkenaan yang memainkan sentimen agama dan perkauman terhadap kerjasama UMNO melalui kerajaan Perpaduan, sedangkan mereka juga pernah melakukan tindakan sama sebelum ini.
“Kepada mereka yang ghairah meniupkan sentimen agama dan perkauman, ingatlah, merekalah juga yang pernah bergandingan dengan DAP dalam Barisan Alternatif, juga Pakatan Rakyat, hampir sedekad lamanya,” katanya di hari ulang tahun ke-79 UMNO di WTC, hari ini.
Mereka jugalah yang membentuk kerajaan bersama DAP demi menjatuhkan kita pada PRU 2018, malah sanggup melanggar prinsip dengan menggunakan logo Keadilan. UMNO tidak pernah membenarkan ahlinya bersolat di hadapan pejabat DAP.
“UMNO juga tidak pernah menobatkan mana-mana pemimpin DAP setinggi makam Khalifah Umar Abdul Aziz. Lebih ironi, ketika UMNO bekerjasama dengan MCA dan MIC, kita juga pernah dikafirkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ahli parti perlu elakkan daripada terperangkap dengan desas-desus pembahagian kerusi pada pilihanraya negeri Melaka akan datang.
“Serahkan kepada pucuk kepimpinan parti menyelesaikannya.
“Jangan sekali-kali beremosi dan membuat pelbagai andaian,” katanya.