Perkara biasa, kata Bung mengenai Rahman

KETUA UMNO Sabah Bung Moktar Radin mengakui wujud perbezaan pendapat dengan timbalannya, Abdul Rahman Dahlan, sambil menyatakan ia adalah proses biasa ke arah perkuat parti.

Katanya, ia tidak sampai membawa kepada perpecahan.

“Sememangnya betul perbezaan pendapat itu ada dalam UMNO Sabah, sebab mana-mana parti pun wujud berbeza pendapat, tapi dalam UMNO Sabah perbezaan pendapat tidak sampai membawa kepada perpecahan.

“Saya sendiri sebagai ketua UMNO negeri sentiasa meraikan perbezaan pendapat, sebab itu apa-apa pendapat walaupun saya tidak setuju saya tidak akan jawab secara di khalayak, sebaliknya akan bincang secara dalaman kita dan bila keputusan dicapai semua menghormatinya,” katanya di Kota Kinabalu, Ahad lalu.

Bung berkata, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) Sabah kini sedang mempersiapkan parti bagi menghadapi PRN dan tidak mahu mengambil pusing sebarang gangguan dicipta pihak tertentu, kononnya berlaku perpecahan dua kumpulan dalam parti.

Bila kita turun di bawah jumpa akar umbi dan penyokong Umno mereka tidak begitu memikirkan soal tuduhan perpecahan yang dikatakan (pihak tertentu) apa yang mereka mahukan BN mengerakkan jentera dan pastikan BN kembali memerintah Sabah selepas PRN akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Presiden UMNO Zahid Hamidi menafikan kewujudan kumpulan Bung Moktar dan Rahman, ketika komponen itu bersiap menghadapi PRN.