UMNO Sabah tiada autonomi pilih rakan?

PENGANALISA politik menolak dakwaan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kononnya UMNO Sabah diberikan autonomi penuh bagi memilih parti yang boleh menjadi rakan kongsi pada pilihanraya negeri itu tidak lama lagi.
James Chin dari University of Tasmania dan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata UMNO pusat masih mempunyai kata putus mengenai sebarang langkah atau keputusan UMNO Sabah.
“Semua orang tahu bahawa UMNO Sabah dikawal oleh pusat, jadi kenyataan beliau (Zahid) tidak dapat diterima sepenuhnya.
“Zahid boleh berkata apa yang beliau rasa tetapi ahli di bawah sana tahu bahawa Barisan Nasional mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan Gabungan Rakyat Sabah,” kata Chin.

Azmi menyokong pandangan itu dengan berkata BN dan PH sudah pun mencapai persetujuan di peringkat pusat untuk mewujudkan gabungan, sesuatu yang mesti dipatuhi oleh pemimpin peringkat negeri.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata UMNO Sabah diberikan autonomi untuk berbincang dan menentukan kerjasama PRN ke-17 dengan mana-mana parti.

Katanya, UMNO Sabah juga diberikan kuasa mencari rakan PRN sambil berkata tiada sesebuah parti pun dijangka dapat membentuk kerajaan negeri selepas pilihanraya itu.

Minggu lalu, Sekretariat Kerajaan Perpaduan mengumumkan bahawa BN dan PH akan bekerjasama pada PRN nanti berikutan pertemuan Zahid dan pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Moktar Radin berkata selepas itu bahawa pihaknya masih diberi beberapa autonomi tetapi ia terhad kepada soal teknikal dan strategik seperti pemilihan calon pilihanraya.

Penganalisa juga mempertikaikan dakwaan Zahid bahawa tidak lagi wujud perpecahan dalam UMNO Sabah.

Chin berkata sekurang-kurangnya ada tiga puak dalam UMNO Sabah, yang Azmi sifatkan sebagai ‘bukan sesuatu yang biasa’.

“Ini banyak berlaku di Sabah di mana politik berkisar pada ketokohan seseorang.

“Dari pengamatan kami, kumpulan ini diketuai oleh Bung, timbalannya Abdul Rahman Dahlan dan bendahari UMNO negeri Salleh Said Keruak. Mungkin ada yang lain,” kata Azmi.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata Zahid tidak boleh dipersalahkan kerana beliau perlu memberi gambaran wujudnya kesepakatan menjelang PRN nanti, yang dijangka diadakan sebelum hujung tahun.

Ahad lalu di Sabah, Zahid menyebut masalah dalam parti sebagai antara punca tewasnya UMNO pada PRN Sabah tahun 2020.