Puad Zarkashi tidak menyokong Khairy kembali ke Umno, menyifatkan populisme hanya menguntungkan diri sendiri.
“Saya tak dengar pun (tentang Khairy kembali ke Umno) dan saya tidak akan setuju,”katanya kepada FMT, merujuk desas-desus Khairy menyertai Umno semula.
“Umno tidak perlukan populis. Ia tidak ada manfaat pada parti. Ia hanya menguntungkan dirinya.”
Menurut Puad, Umno perlukan setiakawan yang menghormati musyawarah.
“Umno perlukan setiakawan dan mereka yang menghormati musyawarah. Khairy terbukti tidak ada kualiti itu,” katanya.
Puad juga mendakwa Khairy masih dengan ego, dan setakat yang beliau tahu Khairy tidak membuat rayuan terhadap pemecatan keahlian Umno.
Puad beri amaran ramai ahli Umno akan marah jika ada rundingan untuk membawa Khairy kembali ke parti itu.
Sebaliknya, beliau menggesa Umno utamakan mereka yang masih menunggu hasil rayuan, seperti bekas ketua Umno Jempol, Salim Sharif.
Dalam pada itu, Puad mendakwa Khairy sama macam bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, dari segi karakter.
“Tidak mahu ikut konsensus. Khairy kempen PRU hentam parti. Rafizi kempen pemilihan hentam parti,” katanya.
“Lebih baik Khairy dan Rafizi bergabung tubuh parti baharu.”
Semalam, laman SuaraTV melaporkan bahawa Khairy dilaporkan dalam proses untuk kembali menyertai Umno selepas lebih dua tahun dipecat dari parti itu.
Menurut laporan itu, usaha membawa pulang Khairy ke Umno bermula selepas pemergian bapa mertuanya, Abdullah Ahmad Badawi, yang juga bekas presiden parti.
Menurut laman itu, sejak beberapa minggu lepas dikatakan ada perbincangan antara pegawai Khairy dan pegawai Presiden Zahid Hamidi, setelah mendapat isyarat positif daripada Zahid.