Portfolio Zafrul milik UMNO, kata Ahmad Zahid

UMNO mahu supaya kuota tujuh menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu, susulan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui prerogatif yang beliau ada, akan dapat mengembalikan kuota tersebut kepada UMNO.

“Bagi saya yang lebih penting UMNO diwakili tujuh orang menteri dalam Kabinet, walaupun kita tidak pasti sama ada pelantikan Tengku Zafrul (sebagai menteri) dilakukan atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, tetapi anggapan kita beliau daripada UMNO.

“Jika begitu, sekarang UMNO tinggal hanya enam menteri penuh, dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO maka layaklah UMNO memohon satu kerusi supaya diberi kepada kita,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pra-Gawai Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak 2025 di Serian, Sarawak, pada Sabtu.

Jumaat lalu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

Selain Ahmad Zahid dan Tengku Zafrul, lima lagi menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan daripada UMNO ialah Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pertahanan)Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Perladangan dan Komoditi), Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (Menteri Pendidikan Tinggi) dan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Selain itu, Ahmad Zahid mengesahkan bahawa UMNO telah menerima surat peletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti dan ia dihantar kepada Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan.