Tengku Zafrul keluar UMNO, mahu sertai PKR

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tengku Zafrul berkata, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO, sekali gus menamatkan penyertaannya dalam parti itu sejak tahun 1997.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil masa yang panjang untuk menilai keserasian dan kesesuaian perjuangan politik yang ingin diteruskan.

“Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO. Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.

“Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan daripada sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk daripada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam, terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.

Pada Disember tahun lalu, Tengku Zafrul mengakui bahawa terdapat perbincangan awal bersama PKR, namun masih tiada sebarang keputusan yang dibuat berhubung penyertaannya ke parti tersebut.

Tengku Zafrul berkata, individu mempunyai hak asasi dan mutlak untuk memilih landasan perjuangan kerana tanpa keserasian, mustahil seseorang itu mampu memberi perkhidmatan yang terbaik.