UMNO Sabah dan Barisan Nasional mengulangi pendiriannya tidak akan bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada pilihanraya negeri ke-17 nanti, kata ketuanya Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyebut sejarah pencabulan janji parti berkenaan.
Beliau bagaimanapun memberitahu New Straits Times bahawa kerjasama itu mungkin cuma boleh dibuat selepas PRN.
“UMNO Sabah bukan tidak ingin bekerjasama dengan GRS tetapi kisah hubungan kami menempa banyak kisah pahit. Untuk bekerjasama semula, kita mesti berhati-hati dan menilai kejujuran mereka.
“Pepatah ada menyebut, jangan digigit ular dua kali,” katanya.
Terdahulu, ketua UMNO Kota Kinabalu, Mosliati Muslimin mengeluarkan satu kenyataan bahawa tidak ada lagi ruang bagi partinya bekerjasama dengan GRS atau Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) selepas apa yang pernah mereka lakukan.
Katanya, pengkhianatan itu malah berlaku ketika PRN tahun 2020 di mana taktik kotor meletakkan calon Bebas bagi memecahbelahkan undi untuk calon BN.
Ketika itu, katanya BN dan GRS (yang ketika itu dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau Bersatu) adalah sekutu.
“Walaupun disabotaj oleh mereka, UMNO/BN berjaya meraih 14 kerusi negeri berbanding 11 yang dimenangi Bersatu.
“Kita sepatutnya dapat jawatan ketua menteri tetapi memandangkan suasana dinamik politik, UMNO mengalah dan memberikannya kepada Hajiji Nor.
“Malangnya, pengorbanan kami tidak dihargai malah dikhianati,” katanya.