Menteri UMNO menyerlah daripada PKR, DAP

VETERAN UMNO, Shahrir Samad menyifatkan menteri parti itu menunjukkan pencapaian lebih baik daripada menteri daripada PKR dan DAP.
Shahrir, yang pernah menjawat beberapa portfolio dalam kerajaan, berkata tidak boleh dinafikan pencapaian mereka di dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Utusan melaporkan.

“Ini kerana pemimpin UMNO sudah dilatih di peringkat akar umbi,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar.

Ini berbanding pemimpin daripada PKR dan DAP, katanya.

Beliau memberi contoh DAP yang walaupun sudah lama dalam politik, mereka masih kurang pengalaman mentadbir urus negara.

“Misalnya, bekas pengerusi DAP Lim Guan Eng jarang menunjukkan kematangannya dalam memimpin parti itu dan kurang menyengat sebagai menteri kewangan dan ketua menteri Pulau Pinang.

“PKR pula tak pernah ada pengalaman mentadbir negara. Sebab itulah bila dilantik ke dalam kabinet, mereka sedikit mengelabah,” katanya.

Shahrir turut menyindir menteri PKR yang kononnya mahu meletak jawatan tetapi mengambil cuti terlebih dahulu, seolah-olah ia notis tiga bulan yang diamalkan sektor korporat.

“Kalau nak letak jawatan, letaklah jawatan, tak perlu ambil cuti,” katanya, sambil menambah ia menyulitkan rancangan perdana menteri untuk mencari pengganti atau merombak kabinet.