Tan Sri Syed Jaafar Albar telah memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam pemilihan tahun 1976. Dalam usianya yang meningkat 62 tahun, beliau terus berjuang dengan gigih dan lantang menyuarakan berbagai isu dan menamakan Pemuda sebagai ‘ginger group‘. Tan Sri Albar telah meninggal dunia pada 14 Januari 1976 semasa mengadakan dialog dengan Pemuda UMNO Johor di Muar.

Patah tumbuh hilang berganti, mulai dari tanggal tersebut Datuk Hj Suhaimi bin Datuk Hj Kamarudin pula dipilih menerajukan pucuk pimpinan Pemuda UMNO Malaysia sehingga persidangan Agung Perwakilan dalam tahun 1982. ‘Era bertindak‘ diperkenalkan yang telah menarik perhatian dan tumpuan terhadap berbagai isu masyarakat, diantaranya menyuarakan tentangan terhadap apa yang dikatakan terdapat usaha-usaha penghalang dan penyelewengan dalam pelaksanaan DEB dengan isu-isu UMBC,Universiti Merdeka, campurtangan warganegara asing terhadap pelaksanaan dan keluhuran undang-undang di negara ini.

Dalam persidangan agung tahun 1982, pucuk pimpinan Pemuda UMNO bertukar pula kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Datuk Seri Anwar telah berjaya membawa Pemuda UMNO ke suatu zaman baru di mana Pemuda UMNO tidak hanya peka dengan perkembangan penerapan nilai-nilai Islam dan lain-lain yang berkaitan dengan rakyat malahan telah membawa Pemuda UMNO melibatkan diri dengan isu-isu antarabangsa. Disamping itu, beliau kian berjaya menarik golongan intelek dan profesional muda Melayu untuk bergerak dalam Pergerakan Pemuda. Beliau juga telah memulakan langkah bagi menyatukan barisan kepimpinan Pemuda di kalangan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menjayakan berbagai aktiviti seperti khemah kerja dan sebagainya untuk faedah bersama tanpa menjejaskan perjuangan Pemuda UMNO.

Seterusnya jawatan Ketua Pemuda UMNO diterajui oleh Datuk Seri Najib bin Tun Razak dari 1987 hingga 1993. (memangku 1987). Kemudiannya bertukar kepada Tan Sri Rahim Tamby Chik , dari 1993 hingga 1994, sambung kembali Januari 1996 hingga Oktober 1996. Bermula pada 1994 hingga tahun 1996, Jawatan beliau di pangku oleh Datuk Seri Nazri Aziz kerana siasatan kes jenayah ke atas Tan Sri Rahim Tamby Chik). Seterusnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari tahun 1996 hingga 1998, (meletak jawatan, dipangku oleh Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sehingga tahun 2000). Kemudiannya Datuk Seri Hishamuddin Tun Husseinmengambil alih dari 2000 hingga 2009. dan seterusnya Khairy Jamaluddin, sejak bulan Mac 2009 hingga kini.

KETUA-KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO

  1. Tun Hussein Onn (1949 – 1951)
  2. Tun Abdul Razak (1951)
  3. Tun Sardon Jubir (1951 – 1964)
  4. Datuk Senu Abdul Rahman (1964 – 1971)
  5. Datuk Harun Idris (1971 – 1976)
  6. Tan Sri Syed Jaafar Albar (1976 – 1977)
  7. Datuk Hj. Suhaimi Kamaruddin (1977 – 1982)
  8. Datuk Seri Anwar Ibrahim (1982 – 1987)
  9. Datuk Seri Najib Razak (1987 – 1993)
  10. Tan Seri Rahim Tamby Chik (1993 – 1994)
  11. Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (1994 – 1999)
  12. Datuk Seri Hishamuddin Hussein (1999 – 2008)
  13. Khairy Jamaluddin (2008 – 2018 )
  14. Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki (2018 – Kini)