INSIDEN tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting membabitkan pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia diharapkan tidak menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia secara keseluruhan merujuk hubungan kerajaan kepada kerajaan (G2G), perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan rakyat kepada rakyat (P2P).
“Perkara itu adalah sesuatu yang amat mendukacitakan. Presiden Indonesia, Prabowo Subianto baru sahaja melakukan kunjungan negara ke Malaysia dan kita harus bersikap adil kepada mereka.
“Tindakan perlu dilakukan di atas ketidaksengajaan atau kesengajaan yang berlaku,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Media Prima Berhad dan menjadi tetamu undangan dalam Podcast Utama Buletin TV3 yang akan disiarkan pada Ahad ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut meminta penyelesaian segera dilakukan susulan isu itu.
“Mesti cari jalan penyelesaian dengan segera,” katanya.
Sebelum ini, Indonesia menggesa Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai APMM, sekiranya terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan rentetan insiden tembakan di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Memetik laporan Antara News, Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Christina Aryani berkata, kerajaan Malaysia diminta menyiasat kejadian tembakan membabitkan pegawai penguat kuasa itu dengan lima rakyat berkenaan.
Polis Selangor kemudian mengesahkan terdapat provokasi dilakukan sekumpulan Pati warga Indonesia hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut, manakala empat lagi cedera selepas ditembak pasukan penguat kuasa negara di perairan Tanjung Rhu, Banting.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, siasatan mendapati, terdapat kesan atau unsur bot dinaiki anggota APMM dilanggar dan siasatan ke atas bot Pati pula menemukan dua bilah parang.
Polis sudah merakam keterangan 14 anggota APPM.