DATUK Seri Mohamad Hasan mendedahkan ramai yang cuba melaga-lagakan beliau dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tidak mendedahkan siapa individu terbabit sama ada orang dalam parti atau sebaliknya, Timbalan Presiden UMNO menegaskan, beliau tidak menghiraukan cubaan sedemikian atas prinsip setia terhadap parti dan institusi presiden.
“Banyak nak melagakan kita, terutama nak melagakan saya dengan Datuk Seri (Ahmad Zahid). Bukan sikit, ramai, tapi saya memilih untuk setia dalam parti dan mendokong Datuk Seri.
“Ramai Datuk Seri (cuba nak melagakan), apa orang tak cakap, tapi saya pekakkan telinga, butakan mata, terangkan jiwa dan hati saya untuk bersama dengan parti yang kita dokong ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, keputusan untuk bersama parti dan kepemimpinan presiden bukan tindakan yang merugikan, malah beliau juga sanggup kehilangan jawatan sekarang atas tindakannya.
“Justeru, dalam saat sepenting sekarang, jangan ada anasir yang ingin mengadu domba dan melaga-lagakan kita antara satu sama lain.
“Saya cakap sempena dengan hari lahir saya ke-70. I got nothing to lose. I’m not talking about career anymore but i want to give back to my party and i want to give back to my country (Tiada apa-apa yang saya rugi. Saya tidak bercakap mengenai kerjaya, tetapi saya hendak menyumbang kepada parti dan negara saya),” katanya.
