Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan berjumlah RM10 billion yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri adalah bertepatan, menyeluruh dan menepati sasaran.
Pakej ini adalah langkah radikal untuk merangsang industi PKS dan merevitalisasi ekonomi negara pada masa kini.
Tindakan Kerajaan Malaysia untuk menawarkan bantuan tambahan selepas pelbagai maklum balas diberikan sememangnya menunjukkan keprihatinan Kerajaan terhadap denyutan nadi rakyat, peniaga dan pengusaha industri kecil dan sederhana.
Melalui pelbagai inisiatif yang dibentangkan, ternyata Kerajaan mengiktiraf PKS sebagai tunjang utama ekonomi negara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan mencatatkan sumbangan sebanyak 38.3 peratus atau RM521.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2018.
Diharapkan dengan bantuan tambahan ini, beban majikan PKS dapat diringankan selain menjamin lebih daripada dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia.
Namun, saya ingin mengetengahkan limitasi Kerajaan untuk memenuhi segala permintaan bantuan PKS.
Walaupun Kerajaan Malaysia telah mengambil kira pandangan dan kebimbangan yang disuarakan oleh pemegang taruh PKS berkaitan dengan kemelut yang dihadapi, namun Kerajaan Malaysia perlu bertindak dengan wajar berasaskan kemampuan kewangan negara.
Sesuai kemampuan kewangan sedia ada, Kerajaan Malaysia telah menunjukkan komitmen yang teguh untuk memastikan tiada segmen masyarakat yang tercicir daripada mendapatkan bantuan.
Dato’ Seri Utama Mohamad bin Hj Hasan
Timbalan Presiden UMNO