SYUKUR ke hadrat Allah, UMNO masih berdiri megah untuk bangsa, agama dan negara. Pada usia 74 tahun, parti kita bukan lagi eksklusif untuk Melayu tetapi turut memayungi bangsa lain ke arah satu aspirasi nasional.
Pada era COVID-19 ini kita dibatasi oleh peraturan yang melindungi rakyat. Mesyuarat bahagian dan cawangan terpaksa ditunda. Semua bahagian sibuk membantu rakyat pada masa sekarang. Ini semua membuktikan betapa UMNO sentiasa prihatin rakyat.
Dalam usia matang ini, ahli mesti faham perjuangan parti, iaitu mengangkat kedaulatan agama, bangsa dan negara dalam adunan kemajmukan rakyat. Perlu berjuang untuk semua dan sedia bekerjasama dengan sesiapa saja yang sealiran dengan kita.
Lanskap politik negara telah berubah dengan pesatnya, begitu juga pendekatan kita. UMNO mesti diangkat sebagai pegangan ideologi politik rakyat yang dahagakan kelestarian hidup dan masa depan lebih terjamin.
Meskipun sebelah kaki kita berada di pentas Kerajaan Perikatan Nasional, tidak banyak boleh dibanggakan. Sokongan kita adalah untuk menjatuhkan kerajaan ala politburo, menamatkan pemerintahan dinasti, mengekang rejim penipuan dan gila kuasa selama 22 bulan. Ia banyak menyusahkan rakyat. Maruah negara pula tercemar di pentas dunia.
UMNO belum ada kuasa penuh. UMNO juga tidak gila kuasa tetapi bertegas dengan hamparan masa depan lebih gemilang untuk anak cucu kita. Dengan Melayu sebagai teras pemerintahan dan Islam dijadikan tiang serinya, sagala keterlanjuran silam boleh dielakkan.
Masa depan parti masih berliku, perjalanan masih jauh tetapi kita semua perlu bertekad bersatu hati. Hentikan politik peribadi yang ternyata hampir membuat kita tempang selepas PRU14.
Kini kita ada Muafakat Nasional. Murnikan dan buktikan lagi seperti mana dalam lima pilihan raya kecil lalu. Kita boleh melangkah lebih jauh dan lebih mudah jika iltizam dan semangat kita kuat.
Ini bukannya masa untuk kita duduk bertimpuh dan bertatih lagi. Kita mesti sedia dalam semua hal, termasuk barisan pemimpin masa depan. Sejauh mana kita mampu menyesuaikannya dengan geo-politik negara, kitalah yang mencorakkannya.
Sempena ulang tahun ke-74 UMNO, saya merayu agar semua ahli menggenggam erat keris perjuangan parti, hentikan tabiat “api dalam sekam” dan semarakkan semula semangat sejarah penubuhannya.
Selamat Ulang Tahun Ke-74 UMNO
DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden UMNO