Kebajikan Syarikat Dan Pekerja Pengendali Haji Serta Umrah Perlu Dijaga – Zahid


KUALA LUMPUR, 28 Jun – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa simpati terhadap keluhan pemilik, kakitangan dan mutawif syarikat pelancongan yang mengendalikan pakej haji dan umrah yang kehilangan punca pendapatan mereka.

Malah kata beliau lagi sehingga ada syarikat yang sudah menutup operasi dan terpaksa memberi cuti tanpa gaji kepada kakitangan mereka dan difahamkan, hampir 500 ribu orang termasuk ahli keluarga dari sektor pengendali haji dan umrah ini terlibat.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Kerajaan Arab Saudi masih tidak membenarkan ibadah haji dan umrah dilaksanakan tahun ini bagi mengelak kemudharatan yang mengancam nyawa akibat Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

“Saya memohon agar kerajaan mempertimbangkan pemberian Dana Bantuan Tambahan kepada syarikat-syarikat ini serta kakitangan yang terlibat,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Pada masa yang sama Zahid turut memuji usaha kerajaan yang sebelum ini melaksanakan pakej rangsangan termasuk membantu syarikat-syarikat agensi pelancongan tempatan khasnya yang mengendalikan haji dan umrah.

“Selain itu saya memuji sikap yang ditunjukkan oleh beberapa pemilik syarikat dan kakitangan mereka yang mula beralih kepada industri pelancongan tempatan dan tidak kurang juga yang mula menjual kurma dan lain-lain produk dari Timur Tengah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Semoga Allah SWT mengangkat wabak COVID -19 ini dengan segera agar dapat kita menziarahi rumah Allah dan kekasihnya Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.- UMNO Online