PRK DUN Chini: Tengku Adnan Seru Pengundi Luar Pulang, Pilih BN Sabtu Ini


PUTRAJAYA, 2 Julai – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru para pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang berada di perantauan supaya pulang mengundi pada Sabtu ini dan memilih calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, pengundi DUN Chini yang berada di kawasan luar perlu pulang dan melaksanakan amanah sebagai pengundi.

“Ini adalah peluang anda sebagai pengundi bagi membantu kemenangan BN dalam mendapatkan majoriti yang tinggi agar wakil rakyat yang ada dapat melaksanakan khidmat kepada rakyat di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian dalam perjumpaan bersama dengan pengundi-pengundi DUN Chini yang tinggal di Lembah Klang dan Putrajaya, malam tadi.

Katanya, mandat yang kukuh mesti diberikan kepada BN dengan semua pengundi melaksanakan tanggungjawab untuk memilih calon yang ada.

“Wakil rakyat ini akan menjadi suara masyarakat dengan berusaha membawa pembangunan, kemajuan dan memastikan kesejahteraan rakyat terbela, maka inilah masa yang penting untuk pengundi bersama-sama memastikan hala tuju rakyat Chini terjamin dengan mengundi BN,” katanya lagi.

Pada PRK yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini, BN diwakili generasi kedua Felda Chini, Mohd Shahrim Md Zain, 41, yang juga Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan bagi mempertahankan kerusi DUN itu kekal milik BN.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. – UMNO Online