Jelajah Penerangan UMNO Malaysia (PUMAS) yang digerakkan ke negeri-negeri kini memasuki negeri keempat iaitu Pulau Pinang.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, pendekatan yang dibawa dalam siri jelajah ini dilihat dapat diterima dengan baik di setiap bahagian.
“Ini adalah salah satu inisiatif dalam usaha memperkasakan lagi empat peringkat jentera penerangan di seluruh negara bersesuaian dengan senario semasa. Pendekatan yang Penerangan pusat bawa bukan hanya dari segi hala tuju tetapi kita turut mengajar beberapa skill dan ia bukan hanya dalam bentuk ceramah tetapi bagaimana nak buat infografik dan video pendek.
“Kita harap apa yang kita berikan ini dapat merangsang bahagian dan negeri untuk membuat produk sendiri mengikut kesesuaian dan suasana tempatan… itulah hala tuju jelajah ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online selepas merasmikan Jelajah Penerangan UMNO Malaysia menerusi Bengkel Komunikasi Strategik Peringkat Negeri Pulau Pinang, Ahad.
Tambah Shahril, dalam menyumbang kepada sentimen positif rakyat terhadap UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional (MN), bukan hanya Penerangan pusat sahaja yang memainkan peranan tetapi Penerangan setiap peringkat juga perlu menyumbang apatah lagi dalam suasana negara bakal berhadapan dengan Pilihan Raya Umum-15 (PRU-15) pada bila-bila masa sahaja.
Terdahulu dalam program yang sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu Datuk Musa Sheikh Fadzir telah berbicara ‘hati ke hati’ dengan setiap peserta dalam memberi amanat untuk berhadapan dengan PRU-15.
Antara yang ditekankan adalah semangat dan kerjasama yang perlu diperkukuhkan.
Selain itu Musa juga berpesan agar jentera parti perlu sentiasa mengingatkan rakyat khususnya di Pulau Pinang berkaitan kesengsaraan 22 bulan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).