TANJUNG MALIM, 30 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menzahirkan rasa gembira dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN) iaitu dengan jumlah majoriti 10,645.
Namun begitu beliau mengingatkan agar jangan terlalu seronok atau terlalu bangga kerana perlu lihat dan kaji sejauh mana perkara tersebut boleh dibawa sebagai satu keyakinan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Ini adalah satu kemenangan yang begitu besar oleh calon BN meskipun calon Bebas itu diangkat dan didukung oleh Pakatan Harapan dan kempennya juga jauh lebih rancak berbanding calon Bebas di PRK Chini tetapi keputusan kali ini membuahkan satu semangat baru untuk UMNO dan BN.
“… cuma sekarang ini, awal-awal lagi nak menyebut bahawa kita jangan terlalu nak berbangga atau jangan terlalu nak seronok, kerana kita perlu kaji sejauh mana perkara tersebut boleh dibawa sebagai satu keyakinan untuk PRU-15.
“Oleh sebab itu saya gembira sekarang tetapi dalam masa sejam dua jam nanti kita perlu turunkan balik kegembiraan supaya kita tidak terlalu yakin sebaliknya mengingatkan diri bahawa di PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar sebelum PRU-14 dulu juga ada trend yang sama tapi akhirnya tidak menterjemahkan untuk PRU… jadi sebab itu kita perlu waspada,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata demikian selepas pengumuman rasmi PRK DUN Slim di pusat penjumlahan undi, Majlis Daerah Tanjung Malim, di sini, malam tadi.
Berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Shahril berkata, dengan kemenangan ini ia boleh dibawa kepada semangat jentera dan keyakinan BN serta Muafakat Nasional dalam bentuk baharu.
“Kita boleh bawa semangat jentera dan keyakinan BN serta Muafakat Nasional dalam bentuk baharu kepada PRN Sabah. Sama ada gelombang di Semenanjung ini serupa dengan Sabah maka pengundi yang akan tentukan,” katanya lagi.
Calonnya BN, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz, 43, menang selepas memperoleh 13,060 undi, manakala pencabarnya dua calon Bebas iaitu peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, meraih 2,115 undi dan bekas guru S. Santharasekaran, 44, memperoleh 276 undi. – UMNO Online