REMBAU, 3 Jan – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengajak seluruh ahli parti agar tidak terbawa-bawa dengan cerita yang melalaikan sehingga menyebabkan parti terus berpecah sebaliknya semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing untuk terus memperkasakan parti.
Menurut beliau apa yang penting jangan difikirkan hal yang berkaitan dengan pihak lain dan jalan terbaik adalah memnguatkan parti dengan ‘antibodi’ tersendiri supaya parti terus bergerak ke depan.
‘’Jangan kita terbawa-bawa dengan cerita yang kadang-kadang melalaikan kita dan menyebabkan kita berpecah-belah di antara satu sama lain. Kalau ini tidak dikekang maka kekuatan yang nak bina ini akan jatuh berderai. Kita nak kalahkan Dap… kita nak jatuhkan kerajaan Dap… Dap dah jatuh dah apa nak lagi.
‘’Bergaduh pulak balik dan saya pun tidak faham apa cerita kita. Jadi kita harap kita semua duduk. Bina kekuatan… yang penting sekarang ini bina kekuatan diri kita. Kita vaksin diri kita, bina kekuatan antibodi kita. Dalam politik pun begitu. Kita perkasakan parti kita dan jangan fikirkan pasal orang lain.
‘’Kalau kita pakai ‘face mask’ jaga penjarakan kita insya-Allah kita tidak akan terkena wabak penularan COVID-19 ini. Dalam politik pun begitu apa kita nak risaukan orang… jangan risaukan orang bina kekuatan sendiri dan tambah antibodi kita. Bina kekuatan parti kita… parti kita mesti diurus dengan baik… parti kita yang kalah PRU-14 dah bangkit. Kita dah berjaya bangkit. Tujuh kali pilihan raya kita menang dan Alhamdulillah kekuatan yang kita bina daripada dalam dan kita dah perbaiki banyak kelemahan kita,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO bahagian Rembau, di sini, hari ini.
Mohamad dalam ucapannya juga turut menegaskan bahawa UMNO sama sekali tidak akan bekerjasama dengan Dap.
‘’Malang sekali ada usaha-usaha untuk merobohkan apa yang telah kita bina. Ini satu perkara yang amat tidak baik sepatutnya kita tambah nilai. Sepatutnya kita pastikan penyatuan ini diperkasakan lagi… penyatuan ini perlu suburkan lagi agar ianya dapat memastikan bahawa apa juga bangsa asalkan bersama, kita buka pintu kita untuk kita pastikan penduduk majoriti bersatu padu maka amanlah negara kita.
‘’Jangan terikut-ikut sangat dengan rentak-rentak sehingga ada pula suara-suara dan cadangan-cadangan untuk kita bekerjasama dengan musuh tradisi kita. Ini satu perkara yang amat kita kesalkan sama sekali.
‘’Bina kekuatan… resolusi kita bersatu. UMNO jangan berpecah belah. Ini ada seorang nak ke hulu… ada seorang nak ke hilir. Ada seorang nak duduk tengah-tengah. Apa nak jadi. Nak bekerjasama dengan Dap apahal… begitu bertegas kita… begitu bersungguh-sungguh kita nak jatuhkan Dap. 22 bulan mentadbir negara ini dah nak hancur negara takkan kita… sanggup pula nk duduk dengan Dap.
‘’Saya tidak akan bersetuju… selagi saya Timbalan Presiden UMNO saya tidak akan bersetuju bekerjasama dengan Dap. Jangan kita berkompromi. Jangan kita cepat terburu-buru… bak kata orang tua-tua berfikir mesti panjang, bertindak mesti bijak. Jangan kita pening-pening kepala. Apa yang ada hari ini kita perbaiki,’’ ujarnya. – UMNO Online