KUALA LUMPUR, 9 Mac – Wanita UMNO Malaysia merasa dukacita terhadap kes-kes jenayah membabitkan wanita yang berlaku baru-baru ini.
Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata beliau kesal dan merasa amat sedih dengan kejadian tersebut yang berlaku dalam masa seminggu dan salah satu daripada kes tersebut dipercayai dilakukan oleh suami sendiri.
“Saya percaya sebenarnya terdapat banyak kes keganasan rumah tangga tetapi mangsa takut untuk melaporkannya.
“Usaha menangani insiden keganasan rumah tangga perlu dijalankan dengan mempergiatkan kempen kesedaran berkaitan akta berkaitan termasuk di media sosial.
“Kita harus sedar, keganasan yang tragis seperti memukul, tikam, jerut isteri contohnya bermula daripada perbuatan kecil atau yang berlaku sekali dua, tetapi kalau sudah berlarutan bagaimana?” katanya menerusi satu kenyataan media.
Beliau turut menggesa agar wanita yang berhadapan dengan kes seumpama ini untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.
“Di Malaysia, keganasan rumah tangga merupakan satu jenayah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Justeru, jangan sesekali kita berasa takut untuk membuat laporan sekiranya kita adalah mangsa keganasan rumah tangga,” tegasnya.
Baru-baru ini, seorang wanita maut selepas dipercayai ditembak suaminya secara dekat selepas berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut di Taman Saujana, Kota Tinggi.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, seorang wanita yang bertugas sebagai Pengurus Jabatan Advokasi Pertubuhan Ikram Malaysia dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud, dibunuh di sebuah rumah di Klang.- UMNO Online