Hargai Sokongan Sepanjang Perbicaraan Di Mahkamah

ASSALAMU’ALAIKUM dan salam sejahtera sahabat-sahabat sekalian.

Saya mendoakan semoga saudara saudari semua senantiasa dalam keadaan baik dan sejahtera.

Saya bersyukur dan berterima kasih terhadap sokongan saudari saudari kepada saya dalam mengharungi perbicaraan di mahkamah.

Saya ambil maklum banyak sekali permintaan supaya saya membuat penjelasan mengenainya secara terbuka di Facebook.

Saya memahami niat baik saudara saudari, tetapi seperti yang dimaklumkan sebelum ini saya tidak dibenarkan berbuat begitu.

Saya boleh dikenakan tindakan ‘subjudice’, ‘contempt of court’ kerana akan dilihat seolah-olah cuba meyakinkan atau mempengaruhi orang lain.

Bagaimanapun saya fikir mungkin saya boleh kongsikan maklumat mengenai proses perbicaraan ini.

Mungkin perkongsian ini dapat membantu saudara-saudari memahami serba sedikit apa yang sedang saya lalui ketika ini.

Proses pertama dalam perbicaraan dipanggil ‘Prima Facie’. Pada peringkat ini pihak pendakwaan perlu membuktikan kes terhadap saya terlebih dahulu.

Pada fasa pertama ini pihak pendakwa yang akan memanggil kesemua saksi mereka terlebih dahulu untuk didengari di mahkamah.

Pada proses ini pihak saya tidak akan memberi sebarang kenyataan. Saya cuma dibenar untuk mendengar dan memerhati.

Justeru, apa yang media laporkan tentang perbicaraan kes saya dalam berita-berita mereka setakat ini adalah berdasarkan proses pertama ini.

Berdasarkan kenyataan saksi yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Selepas proses pertama ini selesai, mahkamah akan membuat penilaian sama ada pendakwa berjaya membuktikan ‘Prima Facie.

‘Prima Facie’ bermaksud pada pandangan pertama (on its first appearance) dalam bahasa Latin.

Jika pendakwa gagal membuktikan ‘Prima Facie’, InsyaAllah saya dilepaskan. Jika sebaliknya maka bermulalah proses kedua.

Barulah giliran saya pula diarahkan membela diri daripada tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas saya.

Pihak mahkamah akan mendengar pula kenyataan daripada saksi-saksi barisan pembelaan saya.

Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan diatas sokongan serta doa saudara saudari.

InsyaAllah saya dan barisan peguam akan terus menghadapi proses perbicaraan ini dengan tenang dan cekal.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden