PERGERAKAN Pemuda UMNO Malaysia amat prihatin dengan keluh-kesah rakyat mengenai isu peningkatan amaun kompaun berjumlah RM10,000 yang melibatkan kes-kes perlanggaran SOP.
2. Walaupun secara prinsipnya, Pemuda UMNO menyokong usaha Kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan Covid-19, namun jumlah kompaun yang terlalu tinggi hakikatnya amat membebankan rakyat lebih-lebih lagi di kala mereka sudah sedia terbeban dengan pelbagai kepayahan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
3. Sehubungan dengan itu, PEMUDA UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.
4. Tawaran ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP.
5. Dalam masa terdekat, Pemuda UMNO akan menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.
6. PEMUDA UMNO juga menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas di talian:
📍013-7354116
📍013-7354117
7. Barisan Peguam-peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan ini adalah seperti berikut:
(i) Saudara Nik Saiful Adli Burhan (Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia)
(ii) Saudara Faridzul Azlan Abd Shani
(iii) Saudara Muhamad Nur Aizat Noor Azam
8. Pemuda UMNO tetap berpendirian agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban.
Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia