KEPUTUSAN dasar Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi UMNO berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP. Menolak kerjasama dengan PPBM tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.
Hakikatnya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.
Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan UMNO, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.
Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, di samping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.
Matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing kita.
Tanpa sokongan rakyat, UMNO tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan sepertimana diharapkan seluruh pejuang parti yang berpegang teguh kepada sejarah dan potensi UMNO untuk terus mendepani perjuangan agama, bangsa dan tanahair.
SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO