Bukan Satu Kesalahan UMNO Bangkitkan Isu Berkait Kepentingan Negara Dan Rakyat

PASUKAN propaganda mereka terus bermain dengan naratif UMNO tidak sepatutnya mempersoalkan dasar-dasar kerajaan sedia ada secara terbuka di media sosial.

Dengan alasan terdapat Ahli Parlimen UMNO sedang menyertai pentadbiran kerajaan PN termasuk sebagai anggota Kabinet. Boleh beritahu sahaja kepada mereka.

Walhal sudah banyak kali perkara ini diperjelaskan sama ada yang terus mempertikaikan ini masih tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Hari ini saya terangkan semula.

Pertama, kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah kerajaan PN, bukan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Muafakat Nasional (MN).

Kedua, UMNO bukan sebahagian kerajaan PN. UMNO cuma menyokong pembentukan kerajaan PN.

Ketiga, media sosial antara platform UMNO untuk menyuarakan permasalahan rakyat dan negara terutama pada waktu Parlimen terus digantung.

Maka berdasarkan tiga perkara tersebut, bukanlah menjadi suatu kesalahan atau halangan untuk UMNO terus membangkitkan isu berkait kepentingan rakyat dan negara.

Benar segelintir Ahli Parlimennya menganggotai kerajaan PN, namun saya percaya mereka tidak boleh membuat keputusan atau dasar secara individu.

Walaupun mereka maklum apa-apa isu dibangkitkan UMNO, sebarang ketetapan masih perlu dibuat melalui kerajaan PN yang didominasi pimpinan parti lain.

Justeru, media sosial sebagai saluran UMNO yang seterusnya dalam usaha menyampaikan mesej rakyat kepada kerajaan secara lebih jelas – ‘direct sound’.

Lagipun memang menjadi tanggungjawab UMNO parti keramat agama, bangsa dan negara mengetengahkan segala isu yang memanfaatkan rakyat dan negara.

Kesimpulannya, UMNO bukanlah lagi pembuat dasar seperti sebelum PRU14. Jika BN masih mentadbir negara, UMNO boleh terus mengambil tindakan seeloknya.

InsyaAllah, apabila rakyat kembali beri kepercayaan kepada UMNO/BN mentadbir negara pada PRU15, yang baik kita jadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan.

Kita sama-sama belajar daripada pengalaman.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN