SEKEPING foto ini dikirimkan oleh kenalan saya. Saya memerhatikan apa yang disuarakan oleh pemilik akaun berkenaan.
Apabila saya membacanya, rasanya sangat kelakar dan boleh ketawa berguling-guling. Saya syak dan percaya ia bukanlah ‘genuine account’ sebaliknya ‘fake account’ atau akaun palsu.
Saya sangat percaya rakyat biasa yang mempunyai ‘genuine account’ di media sosial tidak meninggalkan komen sebegitu kerana mereka tahu pengorbanan dan sumbangan yang dilakukan oleh UMNO sejak berkurun lamanya.
Walaupun ia ‘fake account’ yang berkemungkinan dibuat-buat oleh J-Kom, saya tetap mahu memberi penerangan supaya ia lebih jelas.
UMNO ditubuhkan pada 1946 dan sudah berusia 75 tahun. Pada awal penubuhan parti inilah yang menuntut kemerdekaan.
Parti ini tidak lain mahu memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air. Semua orang memperakui sejarah itu.
Seperti yang diperkatakan oleh saudara ‘fake account’, betulkah saudara sudah berusia 60 tahun sebaik saudara mendakwa 60 tahun UMNO menipu?
Saya rasa pemilik ‘fake account’ itulah yang menipu. Maklumlah dibayar gaji bulanan mestilah menurut kehendak tuan walaupun terpaksa menipu.
Rakyat Malaysia melihat dan menilai. Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional jugalah yang membawa kepada kemakmuran negara. Negara ini gemilang baik dari segi ekonomi dan pentadbirannya.
Ia berlaku di zaman kepimpinan UMNO. Adakah di zaman UMNO memimpin tiada lebuh raya, jalan raya, bangunan pencakar langit dan pengangguran tinggi? Pada zaman itu kita nikmati kemakmuran bersama.
Saya rasa yang menipu itu adalah pemerintahan 22 bulan dan 22 tahun. Habis rosak semuanya. Saya fikir ‘fake account’ perlu memberi penerangan berkaitan 22 bulan dan 22 tahun ini.
Sebab angkara 22 itulah negara sekarang dibelenggu masalah ekonomi, FDI jatuh teruk, rakyat sukar cari makan dan begitu ramai hilang kerja.
Apa-apapun saya berdoa supaya Allah SWT memulihkan segera keadaa negara dan moga kita dapat hidup tenang seperti sediakala.
Akhir kalam, saya ingin bertanya betulkah J-Kom sekarang menambah 100 kakitangan baharu? Saya dengar-dengar kontrak 3 bulan disambung sehingga setahun? Ramai juga lepasan SPM diambil bekerja?
Saya pinta apabila diambil bekerja, lakukan sesuatu yang bermanfaat untuk menerangkan kepada rakyat tentang perubahan yang boleh dilakukan untuk memulihkan negara.
Bukannya menabur fitnah di media sosial yang mana suatu hari akan diminta pengadilan di hadapan Allah SWT.
DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN