Pelan Pemulihan Ekonomi Perlu Dirangka, Jadikan Sebagai ‘Patriotisme Economic’

ASSALAMUALAIKUM dan salam sejahtera buat sahabat, rakan dan teman seperjuangan. Walau apa jua badai yang melanda UMNO tetap utuh sebagai parti yang memperjuangkan nasib agama, bangsa dan tanah air.

Saudara dan saudari sekalian. Ketika memberikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 di PWTC minggu lalu, saya ada menekankan mengenai ‘Patriotisme Economic’ (PE).

Saya melihat dalam situasi pandemik Covid-19 yang belum berakhir, alangkah elok sekiranya Pelan Pemulihan Ekonomi (PPE) dapat dirangka dan diserap sebagai ‘patriotisme economic’ bagi memulihkan negara bangsa.

Saya melihat pada saat ini orang ramai dan pakar boleh menyumbangkan idea tentang apa yang boleh dilakukan bagi menghidupkan semula sektor ekonomi sekaligus menyemarakkan pembangunan negara.

Jika dahulu kala, negara tidak mencapai kemajuan seperti hari ini dan aspek patriotisme lebih terarah kepada perjuangan kemerdekaan, konfrontasi dan ketenteraan. Namun, perubahan dimensi masa menyaksikan patriotisme yang dituntut adalah bagaimana kita mahu memulihkan negara.

Boleh saya katakan ekonomi negara ketika ini tenat dan kita tidak boleh bergantung harap hanya pada kerajaan. Maka dalam situasi yang serba mencabar, rakyat boleh menzahirkan ilham bagaimana mahu memulihkan ekonomi dengan kerajaan wajar menerima buah fikiran mereka.

Inilah yang saya maksudkan mengenai ‘Patriotisme Economics’. Jika selama ini semangat patriotik hanya dapat dilihat ketika sambutan hari kemerdekaan ataupun apabila atlet menyumbangkan pingat dalam temasya sukan.

Tetapi apabila ekonomi makin ranap, saat inilah ‘Patriotisme Economic’ amat diperlukan. Masihkah ahli UMNO semua ingat bagaimana Tunku Abdul Rahman pada saat mahu menuntut kemerdekaan? Ketika itu rakyat dengan seluruh jiwa dan raga mengorbankan wang ringgit bagi memastikan Tunku tiba di London.

Ahli-ahli UMNO sekalian. Malaysia sudahpun merdeka namun keadaan ekonominya sangat genting. Maka saya menuntut sahabat saya sekalian, zahirkanlah buah fikiran anda untuk memulihkan negara ini. Kita sayangi Malaysia.

Sesungguhnya kehadiran Covid-19 memberi kesan yang besar kepada ekonomi dan sosial. Pembangunan yang dirancang tergendala dan banyak perniagaan terpaksa ditutup. Inilah masa untuk menyumbang dan membuktikan kecintaan pada negara.

Saya ambil contoh pada 1935, Amerika Syarikat mengalami depresi ekonomi lalu Presiden Roosevelt melaksanakan Work Progress Administration (WPA). Bersama-sama rakyat, mereka berjaya memulihkan negara dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan. Kita juga boleh dan mampu.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN