KUALA LUMPUR, 7 Mei – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersetuju dengan ketetapan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mendesak kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) terhadap pendedahan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.
“Pendedahan kedua-dua bekas ketua yang pernah mengetuai dua organisasi penting kerajaan adalah amat serius terutamanya melibatkan campur tangan politik dan rasuah dalam institusi-institusi yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Keselamatan Negara,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga akan meminta menteri-menteri yang mewakili UMNO untuk membawa saranan ini kepada kerajaan agar tindakan segera dapat dilakukan.
“Penubuhan RCI bagi tujuan di atas boleh disekalikan dan harus disegerakan untuk memulihkan kembali kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap insitusi dan sistem yang membentengi Kedaulatan Undang-undang dan Keselamatan Negara,” katanya. – UMNO ONLINE