KUALA LUMPUR, 20 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru pihak bertanggungjawab agar tanganilah wabak Covid-19 ini secara berkesan dan laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) betul-betul.
Ini kerana katanya, jika berlarutan masalah sama akan dihadapi rakyat sebagaimana yang diumumkan kerajaan baru-baru ini perjalanan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan tanpa kebenaran pihak polis.
“Pelaksanaan PKP 3.0 yang dilakukan secara menyeluruh di negara ini sudahpun bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
“Namun beberapa hari yang lalu saya menerima keluhan daripada penduduk yang tinggal bersempadanan Sepang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan berhubung kesukaran mereka.
“Penduduk beritahu mereka tidak boleh ke lokasi berdekatan disebabkan dua kawasan terbabit berada di dua negeri berbeza sedangkan jaraknya tidaklah begitu jauh,” katanya dalam kenyataan terbaru menerusi laman facebooknya.
Jelasnya, penduduk yang tinggal di Sepang secara kebiasaan membeli barangan dapur di pasar raya di Bandar Baru Nilai memadangkan jarak antara rumah ke premis antara empat hingga enam kilometer sahaja.
Namun katanya, perbezaan antara dua negeri menyebabkan perjalanan mereka terhalang sekaligus menyukarkan urusan seharian.
“Oleh itu saya berharap kerajaan memikirkan semula masalah ini dengan mereka yang tinggal di sempadan diberi pelesapan asalkan tidak melebihi jarak 10 kilometer.
“Saya juga tertarik dengan laporan media baru-baru ini berhubung dua beradik kembar yang tidak dapat meraikan Lebaran bersama memandangkan rumah mereka berada di negeri berbeza.
“Seorang menetap di Sungai Merab, Sepang. Seorang lagi tinggal di Nilai yang mana masa perjalanan ke kawasan sempadan hanya kira-kira dua minit sahaja. Pada perkiraan saya ia begitu dekat.”
Namun ujarnya, mereka tidak dapat melakukan rentasan kerana Nilai dan Sepang bukan sahaja dua daerah berbeza tetapi negeri yang berlainan.
“Apa yang membuatkan sedikit terkilan adalah jarak perjalanan satu sama lain tidaklah jauh.
“Mereka terpaksa akur dengan kehendak kerajaan dan sekadar bertukar juadah Aidilfitri di sekatan jalan raya (SJR) sempadan daerah Sepang dan Nilai. Apa-apa pun syukur kerana anggota polis bertimbang rasa dan membenarkan mereka menukar juadah,” katanya lagi. – MediaUMNO