KUALA LUMPUR, 25 Mei – Berikutan kes COVID-19 yang semakin meningkat terutamanya hari ini hingga melonjak ke angka 7,289 kes, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar dibuat Perintah Kawalan Pergerakan secara penuh.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut mensyorkan agar PKP secara penuh itu dibuat selama 15 hari dahulu dan kerajaan perlulah memberi bantuan kepada mereka yang terkesan.
“Syor total lockdown COVID-19. 15 hari dulu. Beri bantuan bersasar kepada B40 yang bekerja sendiri untuk 15 hari itu,” katanya di Twitter.
Di dalam media sosialnya itu, Ahmad juga melampirkan info grafik yang menunjukkan kes COVID-19 pada hari ini serta alasan kerajaan mengapa tidak dikuatkuasakan PKP secara penuh.
“Info grafik diserta ini hanya alasan kerajaan.
“Namun jika hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih,” tegasnya lagi.
Antara alasan kerajaan tidak mahu kuatkuasakan PKP penuh adalah ia akan memberikan kesan kepada ekonomi rakyat.
Manakala berhubung dengan vaksinasi pula, Ahmad mencadangkan ia perlu diwajibkan dan mengikut aturan tertentu.
“Vaksinasi pula tak payah daftar. Wajibkan. Atur ikut tempat dan umur,” ujarnya.
Untuk rekod, kes COVID-19 hari ini merupakan angka tertinggi sejak pandemik itu dikesan di negara ini pada Januari tahun lepas.
Selangor kekal negeri mencatat kes harian tertinggi dengan 2,642 kes, diikuti Johor (664), Kuala Lumpur (604), Sarawak (513 dan Kelantan (425).
Selain itu, Negeri Sembilan (410), Pulau Pinang (380), Kedah (336), Terengganu (268), Sabah (266), Melaka (258), Perak (218), Pahang (211), Labuan (63), Putrajaya (23) dan Perlis sebanyak lapan kes. – UMNO ONLINE