KUALA LUMPUR, 10 Jun – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdoa semoga Allah memudahkan urusan misi bantuan kemanusiaan UMNO ke Gaza yang diketuai oleh Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan pasukannya di sana serta akan kembali ke Malaysia dengan selamat.
“Beliau akan berangkat pada 19 Jun 2021 hingga 5 Julai 2021 dan membawa bersama sepasukan doktor pakar bagi membantu mangsa-mangsa yang tercedera dan juga memberikan sokongan dan bantuan psikitrik post trauma kepada warga Gaza yang terkesan dengan serangan baru-baru ini.
“Beliau juga membawa bersama pakar pembinaan IBS dan wakil CIDB untuk membantu membangunkan semula Gaza antaranya pembinaan semula lebih 17,000 rumah yang musnah melibatkan 50,000 penduduk, sekolah-sekolah dan hospital serta kemudahan awam lain yang hancur dibom,” ujarnya dalam satu perkongsian di media sosialnya.
Ahmad Zahid juga berkata malam tadi beliau berkesempatan berkunjung ke kediaman Duta Palestin dalam membantu misi bantuan kemanusian ke Gaza dan pembaikan Masjid Al Aqsa yang diketuai Azeez Rahim juga selaku Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia.
Tambah Ahmad Zahid lagi, matlamat misi bantuan tersebut juga akan memberi bantuan kepakaran dalam isu bekalan air bersih dan sistem kumbahan yang daif akibat daripada kesan serangan.
“Misi kemanusiaan juga akan memberikan bantuan kewangan kepada petani, nelayan dan biasiswa bayaran pembelajaran kepada anak-anak Gaza di universiti tempatan mereka,” jelasnya. – UMNO ONLINE