PELIK juga apabila Pejabat Perdana Menteri sendiri tampil buat perutusan bantahan terhadap cadangan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk ganti kerajaan.
Tidak pernah dengar pula mana-mana parti utama tuntut MAGERAN!
Kalau di pihak UMNO, yang pasti kepimpinan setakat ini secara konsisten hanya tuntut lima perkara utama untuk rakyat:
(1) DARURAT ditamatkan dan tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021 ini kerana selama hampir 6 bulan ternyata tidak mengurangkan kes COVID-19 kepada dua angka.
(2) Manfaatkan Kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk bantu rakyat termasuk arah bank tawar Moratorium tanpa caj/faedah tambahan.
(3) Manfaatkan Kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk kawal harga barang dan bantu rakyat dengan pelbagai bantuan termasuk i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0
(4) Manfaatkan Kuasa Darurat di bawah Ordinan Darurat yang ada, untuk buat ‘TOTAL LOCKDOWN’ secara total bukan separa masak.
(5) Buka Parlimen untuk pertahankan semangat dan prinsip demokrasi agar ada akauntabiliti terhadap segala keputusan kerajaan seperti perbelanjaan wang rakyat, penggunaan Kumpulan Wang Amanah, pengurusan COVID-19, proses imunisasi dan vaksinasi termasuk aspek perolehan dan kontrak-kontrak pembelian vaksin dan lain-lain.
UMNO sebagai sebuah parti, walaupun sebahagian Ahli-ahli Parlimen berada dalam kerajaan sementara Perikatan Nasional, tidak pernah bersetuju bahkan tidak langsung dirujuk mengenai PROKLAMASI DARURAT. Malah, alasan DARURAT kerana hendak menangani COVID-19 juga turut diragui.
Sebab itulah, lima tuntutan di atas secara konsisten diperjuangkan UMNO agar tempoh Darurat yang berkuat-kuasa dimanfaatkan sepenuhnya untuk kerajaan menggunakan kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk bantu rakyat.
UMNO tidak pernah menuntut MAGERAN ditubuhkan yang pastinya bertentangan dengan pendirian yang diputuskan setakat ini untuk DARURAT ditamatkan atau tidak diteruskan selepas 1 Ogos 2021! – UMNO ONLINE
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia