KUALA LUMPUR, 13 Jun – Apa guna darurat jika tidak dapat bantu rakyat, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Jelas beliau, Pemuda UMNO juga berpendirian selepas 1 Ogos 2021 tidak perlu lagi diteruskan darurat yang ternyata lebih memudaratkan negara sedangkan jelas tidak berkesan untuk menurunkan kes COVID-19 kepada sekurang-kurangnya dua angka.
“Saya tidak mahu mengulas siapa yang betul antara Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Undang-Undang, walaupun resah melihat dua anggota pentadbiran saling berkontradiksi antara satu sama lain mengenai isu darurat.
“Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah kata hanya Tuanku Agong (Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah) punya budi bicara untuk teruskan darurat ataupun tidak,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Tambah Dr Asyraf lagi, kemudian, Menteri Undang-Undang pula perbetulkan kenyataan itu bahawa hanya Jemaah Menteri boleh nasihat Tuanku Agong (tidak timbul budi bicara) untuk teruskan darurat ataupun tidak.
“Yang pasti Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau menyatakan secara jelas bahawa yang di bawah ordinan darurat, jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi tak perlu kenyataan-kenyataan yang buat rakyat lebih keliru! Tak mungkin PM bersandiwara dengan penubuhan jawatan khas darurat tersebut,” katanya lagi.
Ujarnya, bagi Pemuda UMNO, dalam tempoh sebulan setengah berbaki sebelum darurat tamat, lebih baik kerajaan manfaatkan ordinan darurat untuk kepentingan rakyat.
Berikut adalah tiga cadangan dari Pemuda UMNO
1.Arahkan Bank tawarkan Moratorium tanpa caj mahupun faedah tambahan kepada semua golongan termasuk M40.
2.Arahkan KWSP untuk rakyat akses kepada i-Sinar 2.0 dan i-Lestari 2.0
3.Mengawal harga barang keperluan asas rakyat yang naik mendadak di kala pandemik. – UMNO Online